Sunday, June 7, 2009

PERUTUSAN YAB PEHIN SRI DR. HAJI ABDUL TAIB MAHMUD DI PERHIMPUNAN AGONG KE-10 PARTI PESAKA BUMIPUTERA BERSATU (PBB)


PERUTUSAN YAB PEHIN SRI DR. HAJI ABDUL TAIB MAHMUD


Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan syabas kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa pengelola atas daya usaha mereka membuat segala persiapan bagi membolehkan Perhimpunan Agung Ke-10 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dijalankan dengan baik dan lancar. Kestabilan politik dan keutuhan Kerajaan BN memerintah di Sarawak tetap menjadi kebanggaan kita bersama. Ini terbukti semasa Pilihan Raya Negeri bulan September 2001, di mana BN mendapat mandat yang jelas daripada rakyat sambil PBB memenangi semua kerusi yang ditandingi. Keputusan ini menunjukan bahawa rakyat mempunyai keyakinan terhadap BN dan dasar pembangunan yang telahpun mengubah corak hidup rakyat jelata.

Sebagai tulang belakang bagi kerajaan Negeri, adalah menjadi tanggungjawab PBB untuk memenuhi mandat tersebut. Kita harus berpegang teguh keatas komitmen untuk meneruskan perjuangan parti demi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat dalam era globalisasi.
Setakat ini, kita telah pun berjaya menjalani proses transformasi sehingga mampu menghadapi cabaran realiti baru dengan lebih yakin lagi.

Dalam menghadapi cabaran dunia baru dan ancaman globalisasi, seluruh tenaga dan pemikiran rakyat perlu digembling supaya menjadi lebih inovatif, kreatif, berpengetahuan dan berkemahiran kerana menyedari bahawa bentuk pembangunan kini semakin menjurus kepada pengkomersilan yang berasaskan K-ekonomi.

Selaras dengan tema Perhimpunan Agung kali ini, iaitu, ?Bersama melangkah ke era globalisasi dan teknologi maklumat?, ahli PBB seharusnya memainkan peranan lebih giat lagi untuk menentukan bahawa segala sumber yang ada perlu disatukan bagi mempertingkatkan keyakinan, keupayaan dan kekuatan dalam semua bidang terutama teknologi maklumat dan komunikasi untuk mebolehkan golongan Bumiputera bersaing dengan mana-mana kaum.

Saya ingin menyeru setiap ahli PBB berganding bahu memainkan peranan secara aktif dalam politik pembangunan dan mengikiskan fahaman politik sempit yang hanya berjuang untuk kepentingan diri.


Sekian, terima kasih dan selamat maju jaya.
BERKORBAN BERSATU MENJAMIN KEMAJUAN

(Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Abdul Taib Mahmud)

No comments: